Seluruh tubuhku berasa amat sakit. Hendak berjalan pun ku rasakan tidak berdaya lagi. Kepalaku seakan-akan hendak pecah dan cuping telingaku berdarah. Akhirnya aku terperosok di stor di belakang rumah, terbaring di atas lantai simen yang kotor dan berdebu. Ku cuba pejamkan mata yang sudah hilang sinarnya ini, tetapi suara mak encikku yang menengking di luar sana memaki hamun diriku masih kedengaran.
Beginilah nasibku sejak akhir-akhir ini. Entah kenapa aku mendapat mak encik yang tak macam orang lain. Lengan dan betisnya sama besar. Maknanya sama ada aku kena penampar atau penendang, kesannya sama sahaja. Wajahnya pula tak ayu langsung. Muka bulat dengan permukaan berlubang-lubang, hidung pesek kembang pulak tu! Bibirnya saja ku kira lima inci tebal dan lebarnya pula usahlah cerita, lebih-lebih lagi bila dia memekik. Lainlah aku. Kadangkala aku terfikir jugak, entah-entah mak encik aku cemburu dengan kecomelan dan kemontokkan tubuh aku ini berbanding dengan tubuhnya yang bak tut tut...malas aku nak menyebutnya...
Jelingannya pula cukup membuat aku kebas kaki dan tangan. Tatkala dia mula menerjah aku memang rasa nak mati jam itu juga dan apabila dia mula menghampiriku sambil menyingsing kain, aku yang terlantar seperti ini. Pedih dan sakit. Tetapi mujurlah kepedihan dan kesakitan itu terubat apabila aku memandang Syah Fazwan. Renungan matanya bagai ubat yang menyembuhkan lukaku. Senyumannya memang amat kudambakan.
Kadangkala aku terfikir mengapa Syah Fazwan terlalu jauh beza dengan emaknya, mak encikku itu? Bukan setakat perbezaan perangai tapi juga paras rupa. Gamaknya Syah Fazwan ikut baka ayahnya yang sudah meninggal dunia itu. Syah Fazwan adalah satu-satunya anak teruna mak encikku dan satu-satunya insan yang begitu mengambil berat tentang diriku serta satu-satunya lelaki yang berjaya mencuri hatiku!
Tetapi aku sedar bahawa aku cuma menumpang di rumah ini. Darjat Syah Fazwan terlalu tinggi dan tak setaraf denganku. Namun aku terharu dengan layanan Syah Fazwan. Dia tidak mengira pangkat dan darjat. Dia membuatkan diriku begitu berharga.
Mengenangkan kebaikan Syah Fazwan kepadaku membuatkan aku melupakan saja kekejaman emaknya. Biarlah tubuhku dibalun mak encikku, aku rela asalkan Syah Fazwan masih menyayangi aku. Demi Syah Fazwan, aku sanggup bertahan di sini walaupun nyawaku terancam setiap hari.
Mas! Mas! Mastura!!!" Tiba-tiba aku terdengar namaku diseru. Syah Fazwan? Syah Fazwan dah balik? Aku cuba bangun tetapi tubuhku amat lemah. Hari ini aku paling teruk ditibai mak encik. Pintu stor tiba-tiba terkuak. Aku tahu Syah Fazwn yang datang dan dia juga tahu aku disini sebab stor inilah tempat aku bersembunyi apabila mak encik naik angin.
"Ya Allah...Mas.kenapa berdarah-darah ini?" Syah Fazwan terkejut sungguh melihat keadaanku. Aku cuma mendiamkan diri. Buat-buat memandang ke arah lain agar Syah Fazwan tahu yang aku merajuk.
"Mak saya buat awak lagi ye? Sabarlah Mas...nanti saya tarukkan ubat ye!" Tak lama kemudian Syah Fazwan keluar. Di luar aku dengar Syah Fazwan bersoal jawab dengan emaknya.
"Emak tak patut buat Mas macam tu..dia pun ada perasaan, mak!" Lembut sekali suara Syah Fazwan.
"Eleh, apa yang dia tahu?!" Kasar sekali suara mak encik. "Kesianlah kat Mas, mak..saya sayang dia!" Ucapan Syah Fazwan yang last itu sungguh membuat aku bahagia.
Seminggu kemudian hidupku bagaikan di syurga. Mak encikku tak ada di rumah kerana ikut rombongan persatuan wanita ke Langkawi. Hanya tinggal aku dan Syah Fazwan. Dia melayan aku bagaikan puteri. Namun, dia tak pernah mengambil kesempatan ke atasku. Ada suatu ketika Syah Fazwan merenung ke dalam mataku. Indahnya saat itu!
Mak encikku balik semula ke rumah. Aku mula tak senang duduk. Tetapi apa yang ku jangka tidak terjadi. Mak encikku benar-benar berubah. Dia tidak lagi memaki hamun diriku apatah lagi mendera
aku seperti biasa. Air gamat cap apa yang dia minum kat Langkawi itu hari?
Entahlah. Aku benar-benar tak faham tapi aku bahagia jika betul mak encikku berubah laku. Agaknya dia sudah boleh menerimaku dan aku juga cuba mengambil hatinya. Aku senyum sendiri.
Pagi itu mak encikku kelihatan gembira betul. Wajahnya berkilat-kilat. Syah Fazwan pun nampak riang semacam. Tak henti-henti dia mengusikku. Mak encik nampak tak kisah.
Tengah hari itu ada tamu mengunjungi rumah mak encikku. Seorang gadis yang...eleh, taklah cun sangat. Tapi Syah Fazwan layan dia dengan mesra sekali. Gadis itu pun nampak macam miang je. Aku terbakar oleh api cemburu. Mak encikku sekejap tersengih sekejap ketawa. Seronok le tu!
Aku memberanikan diri muncul di ruang tamu. Cuba melenggang-lenggukkan langkahku di depan mereka. Syah Fazwan perasan akan kehadiranku. "Ha..Mas..mari sini, saya nak kenalkan awak dengan seseorang."
Gadis itu nampak tercenggang melihatku tapi akhirnya tersenyum sambil menjeling manja pada Syah Fazwan
"Inilah Sharifah, bakal tunang saya!" Kata Syah Fazwan sekaligus merentap jantungku.
"Ooooo..inilah Mastura yang you cerita tu ye? Dan mereka pun ketawa beramai-ramai. Berdekah-dekah.
Gelaklah. Gelaklah. Aku sedar siapalah aku, cuma seekor kucing betina jalanan yang sekadar singgah di sini dan diberi nama olehmu, Syah Fazwan! Mastura konon!!!!!